Sunday, February 22, 2009

Ucapan Perasmian MATRADE Wilayah Timur

Perasmian Pejabat MATRADE Wilayah Timur

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Haji Mohamed bin Awang Tera,
Exco Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri,
Yang Berhormat Datuk Liew Vui Keong,
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Perdagangan);
Yang Berhormat Dato’ Haji Mokhtar bin Nong,
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu,
Yang Berbahagia Dato’ Noharuddin Nordin,
Ketua Eksekutif MATRADE,
Barisan Exco Kerajaan Negeri Terengganu,
Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan,
Pihak media serta para hadirin yang dihormati sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnianya kita berpeluang untuk hadir dan menyaksikan majlis pembukaan pejabat MATRADE Wilayah Timur di Kuala Terengganu pada hari ini.

Pembukaan pejabat Wilayah Timur ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk membantu pengeksport di Wilayah Timur amnya, dan khususnya dari negeri Terengganu untuk terus memasarkan produk serta perkhidmatan mereka ke luar negara. Walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa ini, Kerajaan melalui MATRADE meneruskan inisiatif untuk melebarkan rangkaiannya di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia. Pembukaan pejabat di Terengganu ini mencerminkan potensi negeri ini dari segi industri, perdagangan, pelaburan dan pelancongan, selain daripada kekayaan sumber asli.

Dengan penubuhan pejabat di Kuala Terengganu, MATRADE kini mempunyai lima pejabat cawangan di seluruh Malaysia termasuk di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. Antara fungsi-fungsi pejabat cawangan MATRADE adalah untuk menyelaras dan memudahkan jalinan perhubungan perniagaan antara syarikat tempatan dengan pengimport luar negara. Selain itu, pejabat cawangan MATRADE juga menganjurkan aktiviti-aktiviti promosi bagi produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat tempatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Terdapat salah tanggapan bahawa eksport hanyalah untuk syarikat-syarikat besar seperti Petronas dan Perwaja dan bukan untuk syarikat-syarikat industri kecil sederhana (IKS). Oleh yang demikian, banyak syarikat IKS menjauhkan diri daripada bergiat dalam bidang ini. Tetapi pada hakikatnya, terdapat banyak peluang bagi syarikat-syarikat IKS berkecimpung atau meneroka di pasaran antarabangsa bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Terdapat juga salah tanggapan bahawa bidang eksport hanyalah untuk pasaran negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Jepun atau di benua Eropah. Untuk makluman para hadirin sekalian, banyak syarikat IKS kini berjaya menembusi pasaran di sekitar rantau ini terutamanya negara-negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei melalui kemudahan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Ini telah dibuktikan dengan kejayaan syarikat-syarikat tempatan dari Terengganu yang menceburi pasaran antarabangsa seperti Noor Arfa Batik, Bibah Songket, T-Lekor, Pertima, MSET dan juga Maduria.

Kemampuan syarikat-syarikat Terengganu bukan terhad kepada sektor tradisi sahaja tetapi juga merangkumi peluang-peluang mengeksport barangan bukan tradisi dan bernilai tinggi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan perkhidmatan pembinaan. Sebagai contoh, Mitechsoft Technology Sdn. Bhd. melalui MATRADE berjaya melancarkan produk baru mereka di pasaran Eropah sempena pameran perdagangan antarabangsa ICT CeBIT di Hannover, Jerman pada tahun 2005.

Di bawah perancangan projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), sektor-sektor yang akan dibangunkan selain daripada minyak dan gas termasuklah sektor perkilangan, pertanian, pelancongan dan pendidikan. Kesemua sektor ini mempunyai potensi eksport yang baik.

Selain dari negeri Terengganu, pejabat ini juga bertanggungjawab untuk menawarkan perkhidmatan bagi pengusaha-pengusaha di negeri Kelantan dan Pahang. Kebanyakan syarikat di sini terlibat di dalam pelbagai jenis industri khususnya minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi, pemprosesan makanan, tekstil serta produk pertanian seperti minyak kelapa sawit. Kesemua sektor ini mempunyai potensi eksport yang luas untuk pasaran antarabangsa. Dengan penubuhan pejabat agensi MITI iaitu SMIDEC, MIDA dan MATRADE di sini, bantuan yang diberikan oleh Kerajaan adalah lebih menyeluruh dari segi pembangunan IKS, perdagangan dan pelaburan.

Para hadirin sekalian,
Seperti mana yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, ekonomi dunia pada hari ini sedang mengalami kelembapan. Walaupun pelbagai inisiatif telah dirangka oleh Kerajaan bagi membantu pihak industri, namun syarikat-syarikat Malaysia perlu berusaha dengan lebih tekun dalam mengharungi keadaan ekonomi semasa. Di samping usaha yang gigih, aktiviti risikan pasaran adalah kritikal dalam mengekalkan pasaran yang sedia ada dan juga meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

Melalui 39 rangkaian pejabat di bandar-bandar perdagangan utama seluruh dunia, MATRADE menyediakan pelbagai kemudahan termasuk jaringan perdagangan dan maklumat pasaran agar pengeksport tempatan lebih berdaya saing dalam bidang eksport. Selain itu, MATRADE juga menyediakan bantuan kewangan yang dikenali sebagai Geran Pembangunan Pasaran (MDG) bertujuan untuk terus membantu syarikat-syarikat tempatan dalam menyertai aktiviti-aktiviti promosi di dalam dan luar negara.

Untuk membantu syarikat-syarikat dalam keadaan krisis ekonomi semasa, MATRADE telah mengambil tindakan untuk memperluas dan melonggarkan skop MDG seperti berikut:
i. Meningkatkan kelayakan maksima bagi penyediaan bahan-bahan promosi syarikat daripada RM30,000 kepada RM100,000.
ii. Menaikkan kelayakan tuntutan bagi kos penginapan dan tiket penerbangan daripada seorang kepada dua orang bagi syarikat dan persatuan serta dewan perniagaan.
iii. Menaikkan kelayakan tuntutan bagi kos pembinaan dan penambahbaikan gerai daripada 50% kepada 100% daripada kos layak penyewaan gerai.
iv. Membenarkan tuntutan kos penyertaan di dalam Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEEC) di Ibu Pejabat MATRADE.
v. Menaikkan kadar maksima geran untuk pengiklanan dalam direktori pameran bagi penyertaan pameran perdagangan dalam negara dari RM500 ke RM1000.
vi. Lawatan ke atas pelanggan berpotensi sebagai susulan kepada aktiviti-aktiviti promosi sebelumnya bagi tujuan merealisasikan peluang perniagaan.
vii. Pengecualian bayaran sebanyak 50% bagi penyertaan dalam aktiviti-aktiviti promosi MATRADE di dalam dan luar negara.

Justeru itu, syarikat-syarikat Malaysia adalah digesa untuk menggunakan kemudahan yang disediakan oleh MATRADE dalam usaha untuk menembusi pasaran di peringkat antarabangsa yang semakin kompetitif.

Bagi tahun 2009, MATRADE telah merancang pelbagai aktiviti promosi perdagangan di seluruh dunia. Program-program ini merangkumi Rombongan Galakkan Perdagangan, Pameran Perdagangan dan Misi Pemasaran Khusus yang dirangka selepas mengambil kira sentimen pasaran setempat, keadaan ekonomi dunia dan keupayaan syarikat Malaysia. MATRADE juga melalui programnya akan meneroka pasaran bukan tradisional seperti Asia Barat, China, India, Rusia dan Brazil.

Bagi syarikat yang terlibat dalam perniagaan berasaskan makanan, Pameran Perdagangan seperti GULFOOD, FOODEX JAPAN dan FINEFOOD AUSTRALIA adalah landasan yang sesuai bagi memperluaskan pasaran produk Malaysia di peringkat antarabangsa. MATRADE juga menganjurkan pameran MIHAS yang menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke pasaran antarabangsa. Bersempena dengan pameran ini, MATRADE membawa pembeli dari seluruh pelusuk dunia untuk digandingkan dengan keupayaan syarikat Malaysia di bidang yang berkenaan. Pada tahun ini, MIHAS akan diadakan dari 6 hingga 10 Mei di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE Kuala Lumpur.

Adalah hasrat Kerajaan melalui MATRADE untuk meningkatkan bilangan syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan menerokai pasaran eksport. Oleh yang demikian, saya ingin menyeru lebih banyak penyertaan dari syarikat-syarikat di Wilayah Timur ini supaya berdaftar dengan MATRADE. Selain daripada menerima maklumat perdagangan, syarikat-syarikat ini akan dibimbing supaya menjadi pengeksport yang berwibawa di pasaran global. Untuk makluman, sejumlah 319 syarikat dari negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang telah berdaftar dengan MATRADE setakat ini. Bilangan ini adalah kecil jika dibandingkan dengan sejumlah lebih 14,000 syarikat yang telah berdaftar dengan MATRADE.

Adalah menjadi harapan saya supaya syarikat-syarikat di negeri Terengganu akan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan oleh pejabat MATRADE di Wilayah Timur ini dan menyertai segala program dan aktiviti galakan yang dijalankan dari masa ke semasa. Syarikat-syarikat juga digalakkan untuk memberikan sebarang maklum balas yang dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada MATRADE atas pembukaan pejabat Wilayah Timur ini. Saya yakin bahawa pejabat ini dapat menyampaikan perkhidmatan tambah nilai demi manfaat para pengeksport tempatan.
Oleh itu, dengan lafaz bismillahi rahmaani rahim, sukacitanya saya merasmikan pembukaan pejabat MATRADE Wilayah Timur.Sekian, terima kasih.

Rujukan: www.miti.gov.my

No comments:

Post a Comment