Wednesday, July 3, 2013

Usahawan Pantai Timur Perlu Keluar Dari “zon Selesa” Dan Bersedia Ambil Risiko Teroka Pasaran Luar- Matrade

Usahawan Pantai Timur Perlu Keluar Dari “Zon Selesa” Dan Bersedia Ambil Risiko Teroka Pasaran Luar- Matrade

KUALA TERENGGANU, 29 Mei (Bernama) — Usahawan-usahawan tempatan, terutama di Pantai timur, perlu keluar dari “zon selesa” dan bersedia meneroka pasaran luar.
 
Pengarah Wilayah Timur Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Hasziah Mohd Yazid berkata mereka dilihat masih berada dalam “zon selesa” dan tidak mahu mengambil risiko untuk meneroka pasaran luar walau pun ia peluang terbaik untuk menempa lebih banyak keuntungan dan kejayaan dalam membangunkan satu-satu jenama.

Katanya antara kekangan yang dihadapi usahawan tempatan ialah masalah pengeluaran barangan yang tidak dapat memenuhi permintaan dalam skala besar ekoran pengeluaran di kilang yang masih kecil.

“Banyak produk jenama tempatan yang bagus dan berkualiti tinggi serta diterima ramai, malangnya ia masih gagal menembusi segmen pasaran luar negara secara konsisten.”

“Namun, ada juga usahawan tempatan yang berjaya membina jenama mereka dan mendapat sambutan baik dari negara luar dan Matrade menjadikan mereka ini sebagai ikon berjaya untuk diikuti usahawan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di sini hari ini pada bengkel bertajuk “Pelan Pemasaran Eksport” yang disertai 54 usahawan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Hasziah berkata kesemua usahawan itu mewakili 36 sektor perniagaan pelbagai bidang termasuk pembuatan makanan seperti makanan sejuk beku, air berkarbonat dan kopi pra-campuran, tekstil, kayu dan perabot, perkhidmatan yang merangkumi kejuruteraan, hartanah dan latihan.

“Penganjuran bengkel ini bertujuan memberi pendedahan terhadap usahawan mengenai peluang dan perkembangan pasaran eksport yang masih luas untuk mereka terokai.”

“Usahawan juga akan diajar bagaimana untuk menjadi seorang pengeksport yang berjaya terutamanya dalam mengendalikan hal ehwal perniagaan di dalam dan luar negara melalui bengkel ini,” katanya.

Matrade Wilayah Timur ditubuhkan pada Jun 2008 sebagai jaringan tempatan untuk memastikannya hadir secara fizikal dan menjadi penghubung pengeksport di Pantai Timur ke pasaran antarabangsa.
Bengkel pelan pemasaran itu disampaikan oleh seorang pensyarah kanan salah sebuah universiti di Kuala Lumpur, A B Teoh. Beliau juga menulis buku bertajuk “Exporting and International Trade” serta penulis rencana tetap Trademart, iaitu satu majalah untuk pengeksport yang diterbitkan oleh Matrade.

Hasziah berkata Matrade turut memberi nasihat bagi perkara yang berkaitan promosi eksport global dan membantu pendaftaran sebagai pengeksport dan bakal pengeksport melalui Pendaftar Eksport Matrade (MER).

“Kami juga mengadakan lawatan ke kilang milik syarikat yang berpotensi bagi memantau perkembangan eksport, seterusnya memastikan syarikat itu mampu berdaya saing dan bertahan di pasaran luar negara.”

“Matrade tidak bersendirian dalam hal seperti ini dan bagi usahawan di Terengganu, kerjasama yang dijalinkan dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sangat signifikan dalam pembangunan perniagaan sesebuah syarikat untuk mereka menembusi pasaran global,” katanya.

Banyak program yang akan diadakan oleh Matrade Wilayah Timur sepanjang tahun ini antaranya termasuklah penganjuran bengkel Pelan Pemasaran Eksport di Kuantan pada September depan dan Seminar Eksport Batik dan Kraftangan ke Pasaran Global di Kota Bharu pada November depan. Satu lagi seminar Mengembangkan Perniagaan Melalui E-Niaga juga akan diadakan di Kelantan serta Program Kenali Matrade di Kuantan pada Disember depan.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment