Sunday, March 18, 2012

Ucapan YB Menteri semasa Program MATRADE Bersama Usahawan dan Pengeksport di Kota Bharu, Kelantan (4 Mac 2012)

UCAPAN PERASMIAN


Y.B. DATO’ SRI MUSTAPA MOHAMED

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI


PROGRAM MATRADE BERSAMA USAHAWAN DAN PENGEKSPORT

4 MAC 2012 (AHAD)

KOTA BHARU, KELANTAN



Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1Malaysia.


Yang Berusaha Dr. Wong Lai Sum

Ketua Pegawai Eksekutif

MATRADE


Yang Berbahagia Dato’ Nik Zainiah Nik Abdul Rahman

Penasihat MITI


Tetamu yang dihormati

Wakil-wakil media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian


1. Saya amat bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya kita dapat bertemu dalam Majlis Program MATRADE Bersama Usahawan dan Pengeksport pada pagi ini. Saya juga mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di program pagi ini. Kelantan seperti yang tuan-tuan sedia maklum sentiasa berada di hati saya dan saya sangat-sangat mengambil berat untuk berada di sini dan gembira dapat berkongsi maklumat mengenai peluang-peluang perniagaan khususnya perniagaan antarabangsa disamping memaklumkan perancangan program dan aktiviti MITI dan agensi di bawahnya, khususnya MATRADE pada tahun ini, dalam usaha untuk membangunkan pasaran eksport negara.


2. Saya juga difahamkan, ada dikalangan peserta hari ini datang bukan sahaja dari Kelantan malah juga dari Kuala Lumpur, Perak dan Terengganu. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke program ini sesunguhnya membuktikan minat dan komitmen yang tinggi dari tuan-tuan dan puan-puan untuk terus maju kehadapan mempertabatkan eksport negara ke pasaran antarabangasa. Terima kasih diucapkan.


3. Kelantan seperti negeri-negeri lain di Malaysia, juga mempunyai sumber manusia atau ‘human capital’ yang baik dan terkenal rajin serta pandai berniaga. Ini adalah penting dimana tujuan kami berada di sini selain dari menarik minat usahawan dan pengeksport Malaysia untuk berkembang dan mengukuhkan lagi perniagaan eksport mereka ke pasaran global, juga untuk membincangkan isu-isu berkaitan eksport agar ianya dapat ditangani bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat global. Taklimat dan perbincangan pada hari ini adalah diharapkan dapat menghasilkan kefahaman dan kerjasama yang lebih erat di kalangan komuniti perniagaan dan kerajaan demi kejayaan dan manfaat kita bersama.



Tuan-tuan dan Puan-puan,


PENCAPAIAN PERDAGANGAN MALAYSIA TAHUN 2011

4. Malaysia telah memperolehi prestasi perdagangan yang sangat baik pada tahun lepas, dengan pencapaian jumlah perdagangan sebanyak RM1.269 trillion iaitu peningkatan sebanyak 8.7% berbanding dengan tahun 2010. Ini adalah tahun ke 14 berturut-turut terdapatnya lebihan dagangan dan jumlah perdagangan tertinggi pernah dicapai oleh Malaysia berbanding dengan pertumbuhan perdagangan dunia yang meningkat hanya sebanyak 7.5% sahaja pada tahun 2011. Kejayaan ini telah memberikan kita satu suntikan dan motivasi untuk kita menguatkan lagi azam kita untuk bekerja dengan lebih keras pada tahun ini dan pada tahun-tahun yang akan datang untuk mengekal dan memperkukuhkan lagi kedudukan ini. Dengan semangat waja dan sokongan padu dari kedua belah pihak, komuniti perniagaan dan kerajaan, saya yakin, Insya Allah, kita akan berjaya mencapai matlamat tersebut.


5. Adalah harapan saya agar usahawan dan pengeksport Malaysia akan terus memandang kehadapan dan berjiwa gental untuk terus maju walau pun rakan dagang utama kita, Amerika Syarikat masih lagi dalam keadaan pemulihan ekonomi; Eropah masih mengalami ketidaktentuan ekonomi kerana krisis hutang yang sedang dialami oleh beberapa negara ahlinya; dan banyak negara di dunia terutama di Asia Barat yang masih lagi mengalami pergolakan politik dan perubahan. Kesemua faktor ini telah dan akan terus memberi impak kepada perdagangan global termasuk perdagangan eksport negara kita.


6. Lanjutan itu, eksport Malaysia ke Amerika Syarikat telah menurun sebanyak 2.8% pada tahun lalu, sementara eksport ke Eropah amnya meningkat sekitar 4% sahaja kecuali eksport ke Jerman dan Itali, masing-masing menurun sebanyak 18% dan 33.7%.


7. Bagi tahun yang sama, eksport keluaran Malaysia ke negara-negara jiran ASEAN merangkumi 24% daripada jumlah keseluruhan eksport negara dimana prestasinya telah menurun bagi pasaran di Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina dan Laos manakala pasaran eksport ke Myanmar telah meningkat sebanyak 115%, Indonesia 23% and Kemboja 20%. Ini membuktikan bahawa syarikat kita masih mampu bersaing di pasaran global dan barangan kita masih mempunyai permintaan terutama di pasaran-pasaran baru. Pada keseluruhannya, prestasi eksport Malaysia dengan rakan negara ASEAN menunjukkan peningkatan sebanyak 6%.


8. Di samping itu, pada tahun lepas, terdapat peningkatan dalam prestasi eksport Malaysia dengan negara-negara seperti Australia, Jepun, Republik Rakyat China dan Republik Korea. Republik Rakyat China pada masa ini merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan jumlah eksport sebanyak RM91 billion atau 13% dari keseluruhan jumlah eksport negara. Singapura di tempat kedua dengan RM88 billion and Jepun di tempat ke tiga dengan RM80 billion. Apa yang dapat dirumuskan di sini ialah dengan pergolakan ekonomi dunia semasa, ianya telah dan akan memberi impak bukan sahaja terhadap permintaan keluaran eksport malah juga destinasi pasaran eksport tersebut.


Tuan-tuan dan Puan-puan,


9. MITI dan agensinya sentiasa mengendalikan program-program turun padang (outreach) seperti hari ini di dalam usaha membantu syarikat-syarikat Malaysia termasuk syarikat Kelantan membangunkan perniagaan mereka. Dari maklumat yang diterima, syarikat pengeksport 20 utama Kelantan telah berjaya mengeksport sebanyak RM1.48 billion pada tahun 2011. Nilai eksport ini yang merupakan 0.21% dari keseluruhan jumlah nilai eksport negara, merangkumi nilai eksport keluaran-keluaran seperti barangan elektrik dan elektronik, getah dan barangan getah, kayu dan kayu gergaji, kopra, keluaran bahan petroleum dan farmaseutikal.


10. Antara faktor yang telah menyumbangkan kepada kejayaan mereka termasuklah bantuan dan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan yang bukan sahaja meningkatkan pengeluaran dan jualan barangan syarikat bahkan juga menyumbang kepada ekonomi negeri Kelantan terutama dalam mengwujudkan peluang-peluang pekerjaan disamping meningkatkan lagi taraf hidup rakyat. Sehubungan dengan itu, usahawan dan pengeksport Kelantan adalah digesa untuk menggunakan sepenuhnya bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kementerian saya termasuk MATRADE untuk mengembang dan memperkukuhkan lagi perniagaan tuan-tuan dan puan-puan.


Tuan-tuan dan Puan-puan,


11. Di dalam menjamin kejayaan wawasan negara menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, Kelantan juga tidak ketinggalan dengan peningkatan pelaburannnya. Bagi tahun 2011, sebanyak 5 projek telah diluluskan oleh negeri Kelantan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM128.6 juta berbanding dengan hanya RM169.6 juta dari tahun sebelumnya. Dari jumlah ini, sebanyak RM89.9 juta atau pun 70% merupakan pelaburan tempatan manakala RM38.7 juta merupakan pelaburan asing. Pelaburan-pelaburan ini dianggar dapat mewujudkan sebanyak 531 peluang pekerjaan yang boleh dinikmati oleh penduduk Kelantan. Antara kawasan-kawasan perindustrian yang terdapat di negeri Kelantan termasuklah Pengkalan Chepa, Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah, Kemubu, Mukim Apam, Pasir Mas dan Miel Lundang. Sehubungan dengan itu, penglibatan semua pihak dalam menyediakan asas-asas pembangunan yang terbaik menerusi peningkatan dan baikpulih kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian tersebut amatlah penting. Kerajaan Persekutuan khususnya MITI dan agensi-agensinya akan sentiasa memberi sokongan kepada pihak industri terutama dalam menarik pelaburan baru tempatan mahupun perlaburan asing, menggalakkan pengembangan pelaburan sedia ada serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan.


12. Dengan bantuan kerajaan Pusat, sebanyak 5,904 peluang pekerjaan telah di wujudkan di Kelantan dari tahun 1980 – 2011 melalui penubuhan 10 syarikat pelabur terbesar di Kelantan. Syarikat-syarikat tersebut termasuklah Rohm-Wako Electronic (Malaysia), Habib Jewellery Mfg., CMNM Mining Group, Terang Nusa (Malaysia), Ain Medicare, Ainosa Industries, Kompleks Perkayuan Kelantan, Keloil LPG Cylinder, Manakas (Malaysia), dan Chaudry Textiles (M). Memandangkan betapa pentingnya pelaburan, Kelantan mengalu-alukan pelaburan tambahan dan baru bagi membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri ini.



Tuan-Tuan dan Puan-Puan,


13. Selain dari menyediakan khidmat nasihat yang berterusan untuk memberi penerangan mengenai hala tuju, strategi, program, projek, skim bantuan dan perkhidmatan sokongan yang ditawarkan oleh Kerajaan kepada usahawan-usahawan dan pengeksport, MATRADE pada tahun ini merancang mengendalikan 121 aktiviti promosi perdagangan untuk di sertai oleh usahawan dan pengeksport Malaysia.


14. Program-program 2012 yang akan dianjurkan termasuklah misi perdagangan dan pelaburan, misi pemasaran umum dan khusus, pameran perdagangan antarabangsa, kaunter promosi, aktiviti promosi bersama dan misi pembeli luar negara (IBM). Maklumat-maklumat lanjut program-program ini boleh diperolehi dari laman web MATRADE ataupun dari pegawai MATRADE yang ada pada hari ini. Justeru itu, saya menjemput syarikat-syarikat Kelantan untuk sama-sama menyertai aktiviti-aktiviti berkenaan.


15. MATRADE selaku agensi penggalakkan eksport negara, juga akan menganjurkan 4 pameran perdagangan bertaraf antarabangsa di dalam dan di luar negara dimana syarikat-syarikat Malaysia disarankan untuk turut menyertainya. Pameran-pameran tersebut ialah:

Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), 4 – 7 April 2012; Malaysian Services Exhibition (MSE), Doha, Qatar, 30 April – 3 May 2012;Promosi Satu Malaysia di Muscat, Oman, 29 – 30 April 2012; dan INTRADE, 27 - 29 November 2012.
16. Bagi pameran-pameran ini, selain dari penyertaan di pameran perdagangan, MATRADE juga mengaturkan sesi perjumpaan pengeksport dengan pembeli dari luar negara yang hadir khas untuk tujuan ini. Oleh itu, saya menggesa supaya syarikat-syarikat di negeri Kelantan ini berdaftar dengan MATRADE bagi meraih peluang untuk mengeksport produk keluaran mereka.


Tuan-tuan dan Puan-puan,


17. Bagi menjaga kepentingan industri dan pengguna tempatan, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala dan Perjanjian Perdagangan Bebas melibatkan kawasan. Dengan perjanjian-perjanjian ini, negara-negara yang terlibat bersetuju untuk memberikan layanan keutamaan di pasaran masing-masing. FTA yang ditandatangani Malaysia tertumpu kepada penurunan serta penghapusan duti import, liberalisasi sektor perkhidmatan dan liberalisasi dan perlindungan pelaburan.


18. Selain dari meningkatkan daya saing produk dan keluaran Malaysia di pasaran antarabangsa, FTA juga membantu syarikat mencapai pasaran yang lebih besar; membolehkan pengilang mengimport komponen dan bahan mentah pada kos yang lebih rendah dengan prosedur yang mudah; meningkatkan permintaan pasaran yang akan membolehkan pengilang/pengeluar mencapai skala ekonomi dalam pengeluaran; menggalakkan dan memudahkan perdagangan, pelaburan dan membantu pembangunan ekonomi dan peningkatan keupayaan industri tempatan melalui kerjasama teknikal dengan rakan FTA Malaysia. Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru semua komuniti perniagaan Malaysia termasuk pengusaha dan pengeksport Kelantan untuk menikmati layanan keutamaan ini sekiranya syarikat tuan-tuan dan puan-puan berdagang dengan rakan FTA negara kita.


19. Selain dari program dan aktiviti promosi perdagangan, MATRADE juga menyediakan Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) untuk perusahan kecil dan sederhana (PKS). Pada tahun 2012, sebanyak RM52.5 juta telah diperuntukkan untuk geran ini. Geran yang merupakan geran bayaran balik 50%. ini membantu PKS membangunkan eksport mereka dengan menyertai aktiviti galakan eksport di luar negara seperti penyertaan dalam pameran antarabangsa, misi perdagangan dan pelaburan serta menghadiri persidangan luar negara.


20. Pada tahun lepas, sejumlah 1,302 syarikat PKS telah mendapat faedah daripada geran ini yang bernilai RM12.3 juta. Memandangkan geran ini dapat membantu PKS di dalam membiayai sebahagian dari kos perbelanjaan aktiviti promosi, sukacita saya mengumumkan bahawa pada tahun 2012, siling geran ini telah ditambah dari RM30,000 kepada RM100,000 untuk sesebuah syarikat setahun. MATRADE juga akan memudahkan garis panduan permohonan dan memperkenalkan permohonan secara atas talian bagi memudahkan proses ini untuk kebaikan pengeksport. Saya menyeru syarikat-syarikat Malaysia termasuk syarikat PKS Kelantan untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan ini untuk menembusi pasaran baru dan memperluaskan pasaran yang sediaada.


Tuan-tuan dan Puan-puan,


22. Akhir kata, adalah menjadi harapan saya agar Program MATRADE Bersama Usahawan dan Pengeksport di Kota Bharu Kelantan ini, dapat dimanafaatkan sepenuhnya bagi mengembangkan dan meningkatkan lagi prestasi perniagaan tuan-tuan dan puan-puan. Dengan ini, dengan kalimah Bismillahhirrahmannirrahim, sukacita saya merasmikan “Program MATRADE Bersama Usahawan dan Pengeksport Kelantan” pada pagi ini.


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment