Sunday, July 3, 2011

MATRADE Bantu Bangun Produk Negeri II

KUALA TERENGGANU 30 Jun - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan memberi tumpuan terhadap pembangunan produk tempatan yang dikenal pasti mendapat sambutan serta berpotensi untuk pasaran antarabangsa.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pengeksport Matrade, Datuk Zakaria Kamarudin berkata, antara produk tersebut adalah produk berasaskan laut, tekstil, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), minyak dan gas serta perkapalan.

Katanya, sasaran untuk setiap produk adalah berbeza dan pihaknya kini sedang berusaha menangani masalah utama yang dihadapi usahawan serta pengeksport Matrade iaitu kesukaran mengeluarkan dan membekalkan produk serta perkhidmatan dalam skala besar.



Tambah Zakaria, masalah lain yang turut membelenggu para usahawan serta pengeksport adalah keupayaan untuk menepati standard piawaian antarabangsa dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

"Justeru, Matrade kini sedang menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi tertentu termasuk Sirim QAS International, SME Bank, Exim Bank, Halal Development Corporation dan sebagainya bagi mengatasi kedua-dua masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program Matrade Bersama Usahawan dan Pengeksport di Primula Beach Hotel di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Matrade Wilayah Timur, Hasziah Mohd. Yazid.

Dalam pada itu, Zakaria memberitahu, program Matrade Bersama Usahawan dan Pengeksport yang dijalankan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak.

Katanya, program yang diadakan di Terengganu ini merupakan program keempat yang diadakan sepanjang tahun ini dan ia akan diteruskan di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuching selepas ini.

"Tujuan utama kita mengadakan program ini adalah untuk memberi maklumat dan pendedahan kepada para usahawan serta pengeksport berhubung maklumat yang berkaitan agar mereka lebih faham," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berharap agar syarikat yang belum berdaftar dengan Matrade supaya segera berbuat demikian.

Jelasnya, ia bagi membolehkan mereka mengetahui tentang program dan kemudahan yang disediakan oleh agensi tersebut.

- Utusan Online -

No comments:

Post a Comment