Saturday, July 2, 2011

Matrade Bantu Usahawan Terengganu

KUALA TERENGGANU – Para usahawan yang bergiat cergas di dalam industri sokongan petrol dan petrokimia di negeri ini digesa mengambil peluang mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat antarabangsa.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pengeksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Zakaria Kamaruddin berkata sektor itu, yang merupakan antara sektor pengeluaran utama di Terengganu, mempunyai potensi besar di pasaran luar negara.

Katanya antara pelbagai produk dan perkhidmatan di dalam sektor itu yang berpotensi dieksport ialah seperti industri berasaskan makanan laut, produk halal, herba, tekstil dan bioteknologi.

“Dengan adanya kerjasama dari pelbagai agensi persekutuan dan negeri, Matrade bersedia membantu syarikat di Terengganu meneroka pasaran antarabangsa,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.



Sebelum itu, beliau merasmikan program Matrade Bersama Usahawan dan Pengeksport yang disertai 150 usahawan tempatan. Yang turut hadir ialah Pengarah Matrade Wilayah Timur Hasziah Mohd Yazid.

Program itu merupakan yang ke-empat untuk tahun ini.

Sebelum itu, Matrade mengadakan program sama di Kuala Lumpur, Perak dan Sabah dan program yang sama akan diadakan di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak pada Julai ini.

Zakaria berkata, Matrade dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri seperti SME Corp, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Syarikat Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia Berhad (MIDF) dan SME Bank, akan membantu pengusaha membangunkan keupayaan untuk meneroka pasaran eksport.

“Pendedahan dan bimbingan akan diberi berhubung peluang pasaran dan piawaian yang ditetapkan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, permintaan terhadap produk yang ditawarkan bukan menjadi masalah utama kepada usahawan melebarkan sayap ke luar negara.

“Kemampuan pembekal untuk menyediakan produk dalam kuantiti yang banyak selalunya menjadi isu, dan masalah untuk menepati piawaian antarabangsa.

“Selain itu, mereka yang ingin mengeksport produk ke luar negara juga memerlukan pembiayaan kewangan yang tinggi, dan ini bergantung kepada pihak bank untuk memberi pinjaman,” katanya.

Untuk itu, katanya, Matrade akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk cuba mengatasi masalah tersebut.

Beliau berkata, buat permulaan, usahawan yang baru berjinak dengan pasaran antarabangsa akan diperkenalkan pasaran di peringkat Asia, negara-negara Timur Tengah dan negara China terlebih dahulu yang tidak menetapkan piawaian ketat seperti di negara-negara Eropah. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment