Monday, July 11, 2011

Perniagaan Facebook : Bukan Sahaja Untuk Bersosial

GUA MUSANG, 3 Nov (Bernama) -- Rambang mata..! Semuanya saya nak, sebelum
ni susah berpeluang nak tengok dan beli barang cantik macam ni, maklumlah saya
ni bak kata kawan-kawan, tinggal di 'hujung dunia'," kata Norra Azira Azmi yang
sedang leka menekan kekunci komputer mencari paparan kebaya nyonya untuk
Aidiladha.

Norra Azira, 34, yang menetap di Felda Aring, Gua Musang kerana mengikut
suami yang bekerja sebagai pengurus di Felda berkenaan, seringkali hanya mampu
menahan rasa kerana kesukaran mendapatkan barangan yang diingini kerana tinggal
jauh dari bandar.

Namun kini beliau mungkin antara beratus-ratus individu yang begitu sibuk di
depan kaca monitor, melayari laman sosial facebook untuk menjamu mata dengan
pelbagai barangan dari hujung rambut ke hujung kaki sehinggalah makanan dan
ubat-ubatan.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg yang menjadi billionair semuda 23 tahun.

Bukan sekadar mencari dan menambah kenalan, laman sosial facebook yang
popular kini semakin digilai kerana turut menjadi medium kepada individu mencari
dan membeli pelbagai barangan istimewa secara online.

"Sebenarnya ia lebih mudah dan cepat, sekarang tinggal di pedalaman pun
rasanya sudah tidak mengapa," kata Norra Azira, suri rumah anak jati Johor
Baharu, yang baru lima bulan mengenali laman sosial.

ORANG BANDAR PUN SUKA

Berkongsi pendapat yang sama, seorang kakitangan swasta, Arina Annuar, 28,
berkata biarpun menetap di bandar, beliau kini lebih senang memilih facebook
sebagai tempat membeli-belah kerana ia menjimatkan masa dan mempunyai banyak
pilihan.

"Facebook memang tempat paling baik untuk membeli-belah, kalau dulu saya
terpaksa luang masa untuk shopping kerana perlu 'survey' ke beberapa pusat
beli-belah dari Kota Baharu, Kuala Lumpur sehinggalah ke Singapura dan
Indonesia.

"Kini waktu tengah malam pun saya masih boleh melihat dan memilih
macam-macam barangan, tak perlu penat-penat buang masa dan tenaga," katanya.
Arina yang berasal dari Kota Baharu berkata paling menyeronokkan apabila
beliau kini tidak lagi diselubungi rasa malu kerana sikap cerewetnya setiap kali
ke pusat membeli-belah.

"Saya memang jenis cerewet, untuk membeli sesuatu barangan itu saya akan
lihat beberapa kali sebelum ambil keputusan membelinya, hingga kadang-kadang
naik malu bila dipandang dengan pandangan kurang senang oleh jurujual," kata
Arina sambil tersenyum.

Kini melalui facebook, Arina berkata, beliau boleh beberapa kali melihat
barangan itu dengan senang hati sebelum membuat keputusan membelinya.

APA KATA PENIAGA DI FACEBOOK?

Jimat masa untuk semua, itu kata seorang guru yang turut menceburi bidang
perniagaan secara online, melalui facebook.
Azilah Johari Lim, 27, dari Johor, yang mendapat dorongan daripada suami,
berkata bukan sahaja kepada pembeli, urusniaga melalui facebook sangat mudah dan
menjimatkan masa.

Beliau yang telah dua bulan menjalankan perniagaan menjual pakaian, aksesori
pakaian, beg tangan dan barangan wanita yang lain itu berkata perniagaan secara
online hanya memerlukan modal minimum RM1,000.

"Pada saya bisnes online melalui facebook sesuai untuk mereka yang berminat
menambah pendapatan sampingan, setiap minggu pasti dapat duit, satu minggu
paling kurang dapat RM100, tidak perlu sewa kedai, tidak perlu pekerja, ia
sesuatu yang ringkas dan mudah tetapi berbaloi," katanya.

Bagaimanapun setiap perniagaan, sekecil manapun ia pasti ada risikonya,
katanya yang pernah mengalami kerugian akibat barangan yang dikirim melalui pos
kepada pelanggannya telah tertukar alamat.

KEROPOK LEKOR PUN ADA

Selain itu seorang peniaga keropok dari Terengganu, Ahmad Naufal Harith
Hasan, 33, pula lain ceritanya apabila beliau kini bergantung tetap kepada laman
sosial itu untuk menyara hidup.

Mesra disapa Haris, beliau yang telah dua tahun menjalankan perniagaan
keropok lekor dan keropok kering di facebook itu berkata, hasratnya untuk
memartabatkan keropok Malaysia ke dunia menyebabkan beliau sanggup melepaskan
jawatan di sebuah syarikat swasta selain menyedari potensi perniagaan melalui
facebook.

"Dulu kerje kat firma broker... berurusan dengan syarikat di luar negara
hari-hari rasa bosan pulak sebab bukan barang original Malaysia... saya nak
bawak keropok ke hati dunia je... biar semua masyarakat dunia kenal keropok
Malaysia...setakat ini keropok kering saya dah hantar ke Britain, Kanada,
Ireland, Korea, Brunei dan Singapura.

Ditanya berbaloikah beliau melepaskan pekerjaan yang mampu memberi
pendapatan tetap itu kata Haris, "Kalau pasal berbaloi tu memang tersangatlah
berbaloi... cuma keburukannya, kita tak kenal pelanggan... kebaikan dia...
pasaran kita lebih luas," katanya.

MITI GALAK GUNA FACEBOOK

Perniagaan moden yang mampu meluaskan jaringan perniagaan, itu pula kata
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai perniagaan
melalui facebook.

Pengarah MITI Kelantan, Mazlan Daly berkata perniagaan online sebenarnya
telah lama wujud tetapi hanya sesetengah individu sahaja berminat atau mahu
menceburi perniagaan sedemikian.

"Ia berbeza kerana merupakan laman sosial yang mana kebanyakan pengguna akan
melayarinya untuk bersosial sama ada untuk bertukar cerita dengan rakan-rakan,
menambah kenalan dan tak kurang juga yang gemar bermain pelbagai jenis permainan
yang disediakan dalam facebook.

"Di situlah antara faktor secara tidak langsung yang menyebabkan perniagaan
melalui facebook ini 'menjadi' kerana setiap individu dapat melakukan banyak
perkara sekaligus dan bukan semata-mata perlu melayari laman khas untuk
perniagaan semata-mata," katanya.

Mazlan berkata pihaknya menggalakkan perniagaan melalui facebook namun
meminta peniaga agar meneliti dan melihat kepada perundangan yang ada bagi
menjamin kesejahteraan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan peniaga.


NASIHAT KPDNKK

Sementara itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) berkata pengguna mempunyai hak untuk memilih sama ada membuat pembelian
secara online mahupun pembelian biasa dengan mengunjungi pusat perniagaan.
Pengarah PPDNKK Kelantan Fauzi Harun bagaimanapun berkata pengguna diminta
sentiasa berhati-hati ketika membuat urusan pembelian agar tidak tertipu
terutama dari segi kualiti kerana pengguna tidak dapat melihat dan meneliti
barang berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata sekiranya barangan yang dibeli itu tidak
berkualiti sebagaimana yang dijanjikan peniaga, pengguna berhak untuk membuat
aduan yang sewajarnya dengan mengunjungi Tribunal Tuntutan Pengguna di mana-mana
PPDNKK negeri untuk membuat laporan.

"Pihak tribunal akan membuat siasatan sewajarnya bagi membela hak
pengguna... tetapi kita nasihatkan kepada pengguna yang baru pertama kali
membuat pembelian melalui facebook agar mengambil tahu dan mengenalpasti
mengenai syarikat atau individu yang menjalankan perniagaan itu bagi menjamin
kewujudannya.

"Selain itu kita nasihatkan pengguna membeli barangan yang nilainya rendah
dahulu untuk memastikan tidak mengalami kerugian besar sekiranya barangan yang
diterima tidak seperti yang diharapkan. Pembelian pertama akan membantu kita
menilai pembelian seterusnya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment